TAFADDHAL

JIHAD FI SABILILLAH

JIHAD FI SABILILLAH

Ahad, 27 Januari 2008

ALHAMDULILLAH

Ketua Muslimat PAS bebas jam 1 pagi, 47 masih ditahan


KUALA LUMPUR, 27 Jan (Hrkh) - Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh adalah antara 11 individu awal yang dibebaskan jam 1 pagi tadi dari Ibu Pejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur (IPKKL), manakala 47 yang lain masih lagi dalam tahanan. -->
Turut dibebaskan bersama Ustazah Nuridah ialah suami beliau Mohd Azmi Azman dan mereka adalah antara 58 orang yang ditahan semalam atas dakwaan menghadiri satu perhimpunan aman anjuran Protes bagi membantah kenaikan harga barangan di KLCC dan sekitar Jalan Ampang, dekat sini.

Antara yang masih ditahan ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad dan Ketua Penerangan parti KeADILan, Tian Chua, penyelaras Parti Sosialis Malaysia (PSM), Aruchelvan dan Dr Osman Nasir dan Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Dr Badrul Amin Bahrun.

Demikian menurut Ustazah Nuridah ketika dihubungi Harakahdaily bagi mengetahui perkembangan terkini kesemua tahanan terbabit.

"Saya dan suami dibebaskan tanpa sebarang dakwaan. Bagi saya penangkapan semalam adalah salah kerana saya tidak berhimpun sama sekali malah saya sedang membantu seorang wanita berketurunan India yang cedera akibat dikasari polis.

"Apabila polis arahkan bersurai, saya patuh tetapi mereka mengekori dan mengepung saya seterusnya menangkap saya dan lain-lain," katanya yang sedang bersiap untuk ke IPKKL tengah hari ini bagi mengetahui perkembangan lanjut rakan-rakan seperjuangan yang lain.
Sementera itu, Nuridah turut menjelaskan kepada Harakahdaily, bahawa beliau tidak dapat mengenal pasti nama 9 individu yang dibebaskan pagi tadi namun menyatakan tujuh daripadanya berketurunan India mankala dua lagi berbangsa Cina.

"Ada yang ditangkap sekitar Wisma Central Jalan Ampang, dan bukannya di lokasi himpunan sepatutnya diadakan malah turut ditangkap individu yang memakai baju warna kuning," katanya.

"Nampaknya kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin takut dengan kebangkitan rakyat yang mahu memprotes kenaikan harga minyak dan barang yang 'menindas' hidup mereka. Oleh itu mereka melakukan pelbagai halangan untuk menyekat daripada mendengar suara hati rakyat," katanya.

Beliau dalam pada itu turut memberi semangat kepada semua pendokong, pejuang, aktivis dan pemimpin politik agar meneruskan perjuangan membela nasib hidup rakyat di samping mendedahkan segala kepincangan yang dilakukan oleh BN tanpa rasa gentar.

"Jangat takut. Ini adalah lumrah perjuangan, pasti ada pelbagai halangan dan insya-Allah kita akan berjaya,", mengungkap kata-kata beliau.

"TERUSKAN PERJUANGAN WALAU BANYAK RINTANGAN, HADAPILAH DENGAN SABAR DAN MENGHARAPKAN KEREDHAAN"

Tiada ulasan: