TAFADDHAL

JIHAD FI SABILILLAH

JIHAD FI SABILILLAH

Selasa, 15 April 2008

Moga Anaknya Mengenali...

BERITA HARIAN 15 April 2008. Ibu kirim rendang, asam boi pujuk anak pulang

SEPANG: “Saya harap rendang ayam kampung, asam boi dan buah salak ini dapat membuka hati anak saya untuk ingat semula kepada keluarga dan pulang ke pangkuan kami,” kata Siti Hawa Jusoh, ibu kepada budak perempuan berusia 14 tahun yang hilang sejak lebih tiga bulan lalu dan ditemui di Lombok Timur, Indonesia, awal bulan ini.

Suri rumah itu membekalkan makanan dan jeruk kesukaan Che Siti Nor Azreen menerusi suaminya, Che Ishak Che Kob, 48, yang berlepas ke Indonesia semalam untuk bertemu anak kedua daripada tujuh beradik itu.

Turut dibawa dua gambar Che Siti Nor Azreen bersama keluarganya dengan harapan ia dapat memujuk pelajar Tingkatan Dua itu pulang ke pangkuan keluarga.

Che Ishak yang ditemani wakil sebuah organisasi sukarela yang bertanggungjawab mengenai buruh Indonesia, Migrant Care, Alex Ong serta wakil sebuah lagi NGO beribu pejabat di Kelantan, Kijang Care, berlepas ke Jakarta melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang semalam.

Beliau kemudian akan dibawa ke Lombok Timur, sebuah pulau berdekatan Bali, Indonesia untuk menemui anaknya yang menghilangkan diri sejak 20 Disember lalu.

Siti Hawa, 35, mengakui anak keduanya yang kini di bawah jagaan jabatan kebajikan dan perlindungan pihak berkuasa Indonesia seperti masih kebingunan dan tidak dapat mengingati keluarga walaupun sedang menjalani sesi kaunseling.

"Pihak sana ada menghubungi kami tetapi Azreen enggan bercakap. Saya harap dia sedar kami masih menyayangi dan merinduinya. Kami sekeluarga sudah memaafkan kesalahannya," katanya ketika ditemui KLIA.

Che Siti Nor Azreen dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Ladang Ulu Sawah, Kuala Sawah, dekat Seremban jam 9 pagi Aidiladha lalu untuk melawat seorang rakan di Taman Sri Ramai, Rantau, dihantar abangnya, Che Mohd Azroy, 15, ke perhentian bas berdekatan rumah.

Dia berjanji menghubungi Che Ishak jam 1 tengah hari untuk menjemputnya pulang, tetapi gagal berbuat demikian, dipercayai mengikut seorang lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun yang juga jirannya.

Bagaimanapun, gadis sunti itu ditemui pada 4 April lalu di sebuah perkampungan di Lombok Timur hasil usaha Kijang Care dan Migrant Care, tetapi dikatakan sudah berkahwin dengan lelaki bekerja sebagai buruh ladang itu yang turut ditahan pihak berkuasa tempatan Indonesia untuk membantu siasatan.

Che Ishak berkata, beliau tidak sabar memeluk dan mencium anak kesayangannya selepas hampir empat bulan menderita tidak mendengar khabar.

"Saya ingin membawanya pulang secepat mungkin dan kalau boleh meneruskan persekolahan. Dia masih muda, malah memperoleh pencapaian memberangsangkan pada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), iaitu 2A, 2B dan 1C.

"Usaha pertama saya adalah memujuknya pulang dan selepas itu barulah berbincang mengenai masa depannya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ong berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Jakarta untuk membantu membawa pulang Che Siti Nor Azreen secepat mungkin.

"Bila dia akan dibawa pulang belum dapat dipastikan kerana ia membabitkan undang-undang dan dasar luar antara Malaysia dan Indonesia. Dia memasuki negara itu secara haram. Kita akan bekerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Indonesia bagi membawanya pulang," katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Nasional/20080415001230/Article/index_html

Tiada ulasan: