TAFADDHAL

JIHAD FI SABILILLAH

JIHAD FI SABILILLAH

Ahad, 2 Ogos 2009

UGUTAN Najib & 1 Malaysianya

Jangan singgung perasaan ahli UMNO


NIK Abdul Aziz Nik Mat turut mengaminkan doa sejurus selepas Najib Tun Razak tiba di Lapangan Terbang Ismail Petra untuk menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu, semalam. Turut kelihatan ialah Rosmah Mansor.

KOTA BHARU 1 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berharap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dapat menjaga perasaan ahli UMNO dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung mereka jika mahu menjalin kerjasama lebih baik dengan kerajaan Pusat.

Perdana Menteri berkata, perkara itu disampaikannya kepada Nik Abdul Aziz ketika Mursyidul Am Pas itu menyambut kehadirannya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini pagi ini.

Beliau ke sini untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu dan menghadiri Majlis Jamuan Rakyat.

Najib berkata, sekiranya kerajaan Kelantan mahu bekerjasama dengan Pusat, ia perlu dilakukan dengan baik dan berhemah tanpa menyinggung perasaan pihak lain.

Perdana Menteri bagaimanapun tidak menyangka Nik Abdul Aziz akan datang menyambutnya di lapangan terbang bersama pemimpin UMNO termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

"Saya terima apabila Nik Abdul Aziz datang berjumpa saya sebagai pemimpin. Dalam pada itu, bila berjumpa saya sebut pada dia, tolong jaga perasaan orang UMNO. Saya tak sebut secara terus tetapi saya rasa beliau faham. Kalau mahu bekerjasama, perlu dilakukan dengan baik dan saling hormat-menghormati.

"Saya juga beri pandangan kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz bahawa kalau kita nak bekerjasama eloklah kita elak daripada menyebut perkara yang boleh menyinggung mana-mana pihak, saya percaya beliau faham apa yang saya maksudkan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu di Kompleks Sekolah Wakaf Mek Zainab di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Mustapa dan timbalannya, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin serta Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh.

Kehadiran Nik Abdul Aziz di lapangan terbang tersebut untuk menyambut ketibaan Perdana Menteri agak mengejutkan kerana ia tidak dijadualkan.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan itu mengeluarkan kenyataan 'pergi jahanamlah UMNO' yang agak keras untuk menjelaskan bahawa 'salam' yang dihulurkan beliau tidak ada kena-mengena dengan UMNO.

Nik Abdul Aziz beberapa hari sebelum itu mahu hubungan kerjasama di antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat ditingkatkan demi kepentingan rakyat.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, dalam pertemuan kira-kira 20 minit itu, Nik Abdul Aziz turut menyentuh soal royalti minyak, pembinaan jejantas di Kelantan, pelancongan dan pelabuhan.

"Saya beritahu bahawa soal royalti masih dalam kajian kerajaan Pusat kerana ini melibatkan kawasan pertindihan.

"Buat masa sekarang saya tidak dapat memberi jawapan lagi. Bila selesai kajian, saya atau pun wakil Kerajaan Pusat akan sampaikan kepada kerajaan negeri," katanya.

Mengenai projek lain pula, Perdana Menteri berkata, beliau akan menyemaknya termasuk permintaan menteri besar itu supaya sebuah pelabuhan dibina di Tumpat.

"Saya kata elok dikaji dulu di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)," katanya.

Bagi Perdana Menteri, UMNO dan Pas mempunyai matlamat yang sama dalam memimpin negara iaitu membangunkan Malaysia sebagai negara Islam yang maju dan makmur.

Walaupun kedua-dua parti berbeza fahaman, tegas beliau, matlamatnya adalah untuk memimpin negara sehingga maju dan mendapat keredaan Allah.

"Analoginya macam kita berada di lebuh raya, kita dalam laluan kita, Pas dalam laluan dia tetapi kita sama-sama mencari keredaan Allah.

"Sebab itu kita hidup di negara ini, Tuhan berikan rahmat kepada kita. Begitu banyak perubahan setelah UMNO memimpin lebih 50 tahun," katanya.

Sumber dari media arus puak-puak UMNO dan BN

***

Macam mana kalau puak-puak dia yang menyinggu perasaan Pakatan Rakyat??!! Tali barut dia mengancam keselamatan rakyat?? Patutnya dia bagi amaran itu pada ahli-ahli puak-puak mereka dulu. Ini tidak pada Pemimpin yang sangat disayangi semua pula dia nak ugut. Boleh jalan la Najib dengan 1 Malaysia kamu tu..

Tiada ulasan: