JIHAD FI SABILILLAH
Jumaat, 19 Jun 2009
Sabtu, 13 Jun 2009
Mari Dekati Mereka : Penghuni RS
LAWATAN ZIARAH, TARBIYAH & UKHWAH
RAUDHATUS SAKINAH SELANGOR
(Pusat Perlindungan Remaja Puteri di bawah kelolaan Wanita Jamaah Islah
ANJURAN
MUSLIMAT KAWASAN PAROI
DENGAN KERJASAMA
UNIT KAUNSELING NISA`
NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
SABTU
27 JUN 2009
UNTUK PENYERTAAN HUBUNGI
UKHT NORWANI AHMAT
013-3851202
UKHT ATRIZA UMAR
013-6485597
MAKLUMKAN PENYERTAAN ANDA
SEBELUM 25 JUN 2009
Perlukah Wala` Pada Yang Mencipta Kacau Bilau??
Situasi sangat meruncing setelah Muktamar baru-baru ini. Sangat bosan rasanya dengan propaganda dan polimik politik yang dimainkan oleh pihak tertinggi parti.
Rasa macam dah tak semangat dengan parti ni. Dengan jawatan kuasa muslimat yang tak menyenangkan. Dengan presiden parti yang mengacau bilaukan.. Ahh.. Apakah semua ini??
Bukan saya sahaja yang merasakan seperti ini. Saat saya melalui kedai-kedai makan di tepi jalan untuk ke destinasi saya, orang-orang politik hingga warga biasa dalam parti banyak bicarakan ini.
Saya mushkil kenapa presiden yang sekarang ini terlalu drastik mengeluarkan kenyataannya sedari Muktamar lalu. Sedangkan sebelum ini telah diperingatkan oleh Mursyidul Am. Jadilah seperti Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang sangat tawadu`, istiqomah, qanaah..
Hentikanlah segala kata tentang perpadun sebelum ramai yang akan lari dari parti ini. Selain itu, atas dasar apakah perkara ini diteruskan??
Wajar semua pihak menghentikan dan yang utama Presiden sendiri harus menarik balik segala rasa hati yang diketengahkannya.
Jangan sampai wala` itu hilang.. setelah dari pelbagai sudut menegur. Namun masih ada lagi yang berbunyi.
Jumaat, 12 Jun 2009
Iktibar : Ikhlaslah Dalam Apa Jua Pun
Di kalangan Bani Israil ada seorang yang ahli ibadah. Beliau beribadah kepada Allah dalam masa lama. Lalu ada suatu kaum datang kepadanya. Mereka berkata, “Disana ada suatu kaum yang menyembah pohon selain Allah Subhanahu Wa Ta`ala.” Maka dia sangat marah mendengar berita itu lantas dia mengambil kapak dan memikul pada lehernya. Beliau bermaksud mendatangi pohon itu dan menebangnya.
Iblis menemuinya dalam rupa seorang tua. Lalu Iblis bertanya, “Engkau ingin ke mana?”
Ahli ibadah itu menjawab, “Aku ingin menebang pohon ini.”
Iblis: “Bagaimana engkau ini? bererti engkau meninggalkan ibadah dan kesibukan dirimu. Engkau mencurahkan tenaga untuk urusan lain.”
Ahli ibadah: “Ini termasuk ibadahku”
Iblis: “Aku tidak akan membiarkanmu untuk menebangnya.”
Maka ahli ibadah itu menarik Iblis dan membantingkannya ke tanah, dan menduduki dadanya. Maka Iblis berkata, “Lepaskanlah aku hingga aku berbicara kepadamu.” Lalu Iblis berdiri.
Iblis berkata kepada ahli ibadah, “Wahai Fulan, Allah telah menggugurkan kewajiban ini darimu. Dia tidak mewajibkannya kepadamu. Cukuplah engkau beribadah, dan tidak diwajibkan padamu mengurus orang lain. Allah memiliki para nabi di bumi. Kalau Dia mengkhendaki, nescaya Dia mengutus mereka kepada penghuni bumi, dan memerintahkan mereka untuk menebang pohon itu.”
Ahli ibadah: “Aku tetap harus menebangnya.”
Maka syaitan itu menyerangnya. Tetapi ahli ibadah dapat menguasai dan membantingnya, serta menduduki dadanya. Sehingga Iblis menjadi lemah. Maka dia berkata kepada ahli ibadah, “Mahukah aku tunjukkan suatu hal yang memisahkan antara aku dan kamu? itu lebih baik dan lebih bermanfaat bagimu.”
Ahli Ibdah: “Apakah itu?”
Iblis: “Lepaskanlah aku sehingga aku mengatakannya kepadamu”.
Maka ahli ibadah itu melepaskannya.
Iblis: “Engkau adalah seorang fakir. Engkau tidak punya apa pun. Engkau hanya menggantungkan diri kepada orang lain untuk mencukupi kebutuhanmu. Barangkali engkau ingin memberi kepada saudara-saudaramu dan menolong tetanggamu. Engkau kenyang dan tidak memerlukan orang lain.”
Ahli Ibadah: “Benar.”
Iblis: “Serahkan urusan ini kepadaku. Pada setiap malam aku akan meletakan dua dinar disisi kepalamu. Apabila memasuki waktu pagi, engkau mengambilnya. Sehingga engkau dapat menafkahi diri dan keluargamu, Serta bersedekah kepada saudara-saudaramu. Hal itu lebih utama bagimu dan bagi kaum Muslim daripada menebang pohon ini yang tumbuh ditempatnya. Menebangnya tidak menyebabkan bahaya bagi mereka dan tidak memberikan manfaat kepada saudara-saudaramu orang-orang Mukmin.”
Maka ahli ibadah itu memikirkan apa yang dikatakan iblis, dan
berkata didalam hatinya, “Orang tua itu benar. Aku bukanlah seorang nabi yang diharuskan menebang pohon ini. Allah pun tidak memerintahkanku untuk menebangnya. Maka dengan membiarkanya aku tidak berbuat maksiat dan apa yang dia katakan itu lebih banyak manfaatnya.” Maka ia berbuat perjanjian dengan Iblis, dan bersumpah padanya. Lalu ahli ibadah itu kembali ketempat peribadatanya.
Ketika memasuki waktu pagi, ia melihat dua dinar disisi kepalanya. Demikian juga pada hari berikutnya hingga hari ketiga. Tetapi setelah itu ia tidak lagi melihatnya. Maka dia menjadi marah dan membawa kapak dipundaknya. Lalu Iblis menemuinya lagi dalam rupa seorang tua. Iblis bertanya, “Mahu kemana?”
Ahli ibadah: “Aku akan menebang pohon itu.”
Iblis: “Engkau berbohong. Demi Allah, engkau tidak akan mampu menebangnya, dan engkau tidak akan dapat melakukannya.”
Maka ahli ibadah itu menarik Iblis seperti yang ia lakuka pertama kali. Iblis berkata, “Hayhata (jauh sekali).” Maka Iblis menarik ahli ibadah itu dan membantingnya. Tiba-tiba ia seperti seekor burung kecil di bawah kaki Iblis. Lalu Iblis menduduki dadanya, dan berkata, “Engkau harus menghentikan hal ini. Jika tidak, maka aku akan membunuhmu.”
Maka ahli ibadah itu memandangnya. Tetapi ia tidak memiliki kekuatan untuk melawannya. Lalu ia berkata, “Wahai, Fulan, engkau telah mengalahkanku. Lepaskanlah aku, beritahukanlah padaku, mengapa kali pertama aku dapat mengalahkanmu, tetapi kini engkau dapat mengalahkanku?”
Iblis menjawab, “Karena pada kali pertama engkau marah kerana Allah. Dan niatmu untuk kepentingan akhirat sehingga Allah menundukanku kepadamu. Tetapi kali ini engkau marah kerana nafsumu dan dunia, sehingga aku dapat membantingmu.”
Hikayat ini membenarkan firman Allah, “kecuali hamba-hamabaMu yang ikhlas, diantara mereka” (QS. Al-Hijr: 40)
Wahai sekalian jiwa, ikhlaslah! maka pasti selamat.....
Rabu, 10 Jun 2009
ISLAH kan Untuk PULIH kan
Kegawatan politik di Perak sebenarnya berpunca daripada kegawatan ilmu dan aqidah di dalam dada umat Islam yang berbangsa Melayu di Malaysia akibat lemahnya kita pada ilmu dan ketaqwaan.
Sewaktu ini sudah ramai yang menulis ulasan dan komen, ada yang membawa ayat Allah yang bermaksud : “Dan sesungguhnya inilah umat kamu, umat yang satu, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaKu. Kemudian mereka itu berpecah-belah dalam urusan mereka kepada beberapa pecahan, tiap-tiap puak berbangga dengan apa yang ada pada mereka. Maka biarkanlah mereka tenggelam dalam kesesatannya itu hingga ke suatu masa”. (Surah al-Mukminun, ayat 52-54).
Mereka ini ialah golongan yang menyisih diri dan tidak mahu mencampuri urusan politik yang semakin gawat dan dipenuhi oleh permusuhan dan bersikap mengelak daripada terjebak oleh bakaran-bakaran api permusuhan atau percikannya. Mereka mengambil sikap persis seperti pesan nabi kepada ‘Abdullah bin ‘Umar r.a yang pernah memberitahu :“Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu bersabda: “Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir”. (Riwayat al-Bukhari).
dan ada pula yang membawakan nasihat dari ayat Allah yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berselisihan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Surah an-Nisa : 59)
Ini pula ialah pihak yang menyeru supaya masyarakat kembali mentaati pemimpin dan ketua negara dengan mengambil jalan mudah untuk menutup pintu perselisihan dengan memaksa pihak yang memberontak dan tidak berpuas hati itu mengorbankan kehendak dan ketidak puasan hati mereka demi kemaslahatan orang ramai. Biarlah ketidak adilan dan kezaliman itu berterusan daripada pertumpahan darah dan kekocohan bermahajarela serta tersebar ke merata-rata daerah dan negeri.
Manakala kita yang telah melihat dan memerhati sejarah politik, undang-undang tubuh negeri, perwatakkan masing-masing yang tidak mungkin mengalah dan berundur daripada mempertahankan pendapat dan hak masing-masing maka wajarlah kita kembali kepada jalan penyelesaian terbaik yang disediakan oleh Al-Quran seperti yang disebut di dalam surah Al-Hujurat yang bermaksud : "Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya! Tapi kalau yang satu itu melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai surut kembali pada perintah Allah. Kalau dia telah surut, damaikanlah antara keduanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil." (Al-Hujurat : 9)
Pada waktu ini hanya dengan campur tangan ulama dan tokoh masyarakat yang berpengalaman sahajalah dapat mengelakkan kegawatan ini daripada menular dan bertambah buruk. Alim ulama dan mereka yang berkemampuan di dalam mengendalikan masyarakat wajar tampil mendamaikan pihak-pihak yang berselisih dengan mengadakan islah (pembaikan) melalui sulh (perdamaian) atau perbincangan dua hala yang bermaksud mencari jalan penyelesaian.
Tidak wajar ulama berkecuali ! menghindarkan diri atau menjauhkan diri daripada terjebak ke dalam masalah pergaduhan umat Islam ini kerana ketiadaan ulama akan mengakibatkan yang jahil bercakap, berhujah dan bertempik ke sana ke mari menjadi hero perpecahan ummah.
Allah berfirman yang bermaksud:“Berpeganglah kalian semua kepada tali Allah dan janganlah kalian bercerai berai.” (Ali ‘Imran: 103)
Al-Imam Al-Barbahari rahimahullah berkata: “Hendaknya kalian berpegang teguh dengan atsar-atsar dan para ulamanya. Bertanyalah kepada mereka dan duduklah bersama mereka, serta raih ilmu dari mereka.” (Syarhus Sunnah hal. 111)
Ulul Amri bermaksud Pemerintah dan Ulama' maka apabila pemerintah sudah tidak dapat dipercayai maka ulama'lah harapan ummah.
Sebuah majlis perbincangan perlu di adakan di antara wakil pakatan rakyat (PR) dengan wakil pihak barisan nasional (BN) yang akan dikendalikan oleh ulama' untuk mencari jalan penyelesaian.
Kejahilan itu ialah racun dan akan menyebar seperti tersebarnya wabak apabila ianya bercampur dengan khalayak ramai dan massa. Orang ramai perlu bersikap sabar dan mematuhi arahan Allah swt yang disebut di dalam Al-Quran yang bermaksud : "Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat." (Ali-Imran : 105)
"Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya dan mereka berkata: "Bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amalmu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil." (Al-Qasos : 55)
Berpesan-pesanlah sesama orang awam agar tidak menjadi Ruwaibidoh, siapakah golongan ruwaibidoh ini ?
Di dalam hadis ada menyebut bahawa rasulullah pernah bersabda : “Sesungguhnya sebelum kedatangan kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang berdusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang membuat khianat, dan yang bercakap ketika itu ialah al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” jawab Nabi : Orang yang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim.
Hidupkanlah budaya menggesa ulama supaya mengambil tindakan, merujuk kepada mereka apabila mempunyai permasalahan dan jadikanlah mereka sebagai kepimpinan masyarakat.
Ulama yang dimaksudkan ialah benar-benar ulama' bukanlah sekadar yang bergelar ustaz atau ijazah kedoktoran sebalik mereka yang diakui kealiman dan kepakaran menyelesaikan masalah umat dengan keilmuan daripada Al-Quran dan As-Sunnah.
Hidupkanlah budaya islah (pembaikan) bukan penghukuman dan pembantaian atau pergaduhan disebabkan oleh perbezaan dan perselisihan. Ingatlah Palestin masih berdarah, berita mengenainya masih belum pun surut dan hilang daripada kaca TV dan umat Islam di negara kita sudah disibukkan dengan kegawatan dan pergaduhan sesama agama dan bangsa.
Allahuakbar ! Allahuakbar ! Allahuakbar !
Pesanan akhir saya buat kali ini, biarlah kita beramal dengan firman Allah yang bermaksud : "Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari karunia Allah dan keridhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud..." (Al-Fath : 29)
Fahamilah aqidah ! khasnya yang berkait al-wala wal bara' sebelum mulut itu celupar dan cekap menghina dan mencela sesama saudara demi membela musuh kerana kejahilan agama.
Sabtu, 30 Mei 2009
MABRUK!
بَا رَ كَ ا للهُ لَكَ وَ بَا رَ كَ عَلَيْكَ وَ جَمَعَ بَيْنَكُمَا فِيْ خَيْرٍ
"Barakallaahu laka wa baaraka ‘alaika wa jama’a bainakumaa fi khair"
*** Moga redha Allah sentiasa mengiringi..
Rabu, 27 Mei 2009
Muktamar Yang Kian Mendekat
Jumaat, 22 Mei 2009
Kembalikan Kepada Mahkamah Rakyat
Mahkamah Rayuan hari ini mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah.
Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Panel tiga hakim itu - yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian semalam - sebulat suara menerima rayuan Zambry.
Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.
Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop.
Mahkamah senyap ketika penghakiman dibaca.
Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail - sebagai pencelah - turut hadir. Manakala peguam Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan M Reza Hassan menjadi pemerhati bagi pihak BN.
Pada 11 Mei lalu, mahkamah tinggi mengumumkan Mohamad Nizar sebagai menteri besar sah setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.
Abdul Aziz memutuskan bahawa wakil rakyat PAS itu tidak pernah mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN Perak.
Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Mohamad Nizar.
Tetapi kegembiraan menteri besar Pakatan Rakyat itu tidak kekal apabila Mahkamah Rayuan keesokannya membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah tersebut.
Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan berhubung perkara tersebut hari ini.
Sementara itu, Sulaiman memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.
Manakala sekumpulan 200 orang di luar mahkamah, kedengaran melaungkan rasa tidak puashati mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.
Sewajarnya pihak BN dan Umno, kembalikan kepada MAHKAMAH RAKYAT untuk membuat keputusan atas apa yang dimaklumkan.
Apa pun ana mewakili sekalian muslimat mendoakan YAB MB Dato Seri Ir NIzar (MB yang sah Perak yang telah diputuskan oleh mahkamah tinggi minggu lalu) tabah dan sabar menghadapi ujian ini. Teruskan perjuangan dato hingga yang hak kembali kepada yang hak.
Kalau kerajaan BN dan Umno berani, dengan slogan satu Malaysia nya, berilah Rakyat membuat keputusan atas kemelut politik Negeri Perak ini. Kembalikan keputusan kepada rakyat, bukan kepada hakim yang mengikut telunjuk kerajaan. Ingatlah balasan Allah.
Moga Allah tunjuki hati kalian.
Khamis, 21 Mei 2009
Se Malaysia & Satu Malaysia : PAS telah dahului
| Abdul Aziz Mustafa | |
| KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) - Penindasan sesama Umno sehingga menyebabkan ramai yang bertindak keluar dari parti itu adalah bukti awal yang jelas tentang kegagalan hasil mengelamun Perdana Menteri yang diriuh-riuhkan sebagai konsep Satu Malaysia, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar. "Dalam Umno pun (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) gagal mewujudkan Satu Umno, tidak perlu cakaplah tentang Satu Malaysia," katanya mengulas tindakan ahli-ahli Umno di Perlis yang bertindak keluar dari parti itu dan menyertai menyertai pembangkang. Dengan apa yang berlaku itu, Ahli Parlimen Pokok Sena menggesa rakyat segera sedar tentang sifat sebenar Umno. "Sesama Umno, sesama Melayu pun ditindas, dipecat dan dizalimi, tidak ada lagi keadilan yang boleh diharapkan dari Umno yang kelihatan semakin bersungguh-sungguh mempelopori penindasan ke atas sesiapa sahaja yang tidak disukainya," kata beliau. Mahfuz mengalu-alukan kebijaksanaan ahli-ahli Umno yang keluar dari parti itu dan menyertai Pakatan Rakyat (PR). "Dengan penuh ketulusan kita menghulurkan tangan kepada mereka dan saya yakin tindakan mereka itu pasti mengukuhkan lagi tali silaturrahim antara sesama umat Islam dan rakyat Malaysia," kata beliau. Mengulas apa yang berlaku itu, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mereka yang keluar Umno itu termasuk ketua cawangan dan bekas ketua cawangan parti itu di Perlis yang tidak puas hati dengan tindakan kerajaan negeri membuang mereka dari jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK). Menurut beliau, pemecatan ahli JKKK itu berlaku di Pauh, Kuala Perlis, Titi Tinggi, Santan, Mata Air dan Beseri. "Setakat ini 16 atau 17 ketua cawangan dan bekas ketua cawangan telah dibuang dari JKKK, menyebabkan mereka dan yang lainnya, tidak puas hati. "Ketua cawangan dan bekas ketua cawangan Umno dipinggir dan kerajaan negeri tidak mengambil kisah perkara tersebut. "Pembangkang pula telah mengambil kesempatan daripada perkara tersebut," katanya kepada Malaysiakini. Sementara itu, bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh berkata, tindakan ahli Umno menyertai pembangkang bukan sahaja berlaku di bahagian Kangar tetapi juga di Padang Besar. "Saya kenal mereka itu semua. Mereka adalah bekas pemimpin Umno di Kangar. "Betullah angka itu," katanya ketika diminta mengulas laporan Malaysiakini semalam bahawa 1,000 ahli Umno di bahagian tersebut menyertai PKR. Hashim juga sedang memikirkan sama ada akan kekal dalam Umno atau menyertai pembangkang. "Saya sedang menilai hala tuju politik saya, ke manakah arah politik saya. "Takkan saya hendak tunggu saya naik ke atas. Apa yang berlaku ini sedang menjadi perhatian saya. "Bukan soal saya menunggu tawaran, jika keadaan sudah tidak sesuai, mahu tunggu apa lagi" katanya kepada Malaysiakini. Sementara itu, seorang pemimpin Umno bahagian Padang Besar, ketika dihubungi Malaysiakini, juga mengakui ramai ahli Umno di bahagian itu yang keluar parti. Bagaimanapun pemimpin yang enggan namanya disiarkan itu tidak dapat memberi angka sebenar ahli Umno yang keluar parti. Katanya, mereka bertindak demikian kerana marah kepada pemimpin MCA bahagian yang membuang ahli JKKK di beberapa tempat di Padang Besar. "Mana boleh pemimpin MCA memecat ahli JKKK yang terdiri daripada ahli-ahli Umno," katanya. |
Rabu, 20 Mei 2009
Penjelasan Yang Munasabah
Tidak Salah Bukan Islam Membaca al-Quran @ Masuk Masjid
Oleh: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Islam ini pada dasarnya diturunkan untuk membawa petunjuk. Ia sumber hidayah. Ia menjadi rahmat dan penawar. Nilai gunanya adalah untuk seluruh semesta alam. Ia bersifat “rahmatal lil ‘alamiin.”
Ia berguna untuk seluruh umat manusia tanpa mengira perbezaan kaum,suku bangsa, warna kulit dan bahasa. Sepatutnya, al-Quran itu boleh digunakan dengan jujur dan ikhlas oleh penggunanya tanpa mengira sesiapa.
Pada saya, kesediaan YB. berkenaan yang cenderung menggunakan ayat al-Quran adalah satu permulaan kepada satu perkembangan yang cukup menggalakkan. Tidak ada sebab ia tidak dialu-alukan.
Jika dalam zaman awal Islam pun, Abu Lahab yang bukan Islam itupun diizin membaca dan memahami surah Al-Lahab yang mencela beliau, maka apa pilihan kita untuk menutup hak bukan Islam untuk mendekati, membaca dan cuba memahami al-Quran ?
Isu ini bermula sebaik saja pemimpin Umno mencetuskan keresahan demi meraih perhatian untuk mendapatkan populariti dan simpati ke atas partinya yang semakin dibenci orang. Saya diberi faham bahawa isu asal hanyalah kecil. Isu yang berbangkit ialah nama surah sahaja yang disebut salah tetapi ayat yang dikutip dan diterjemahan adalah betul.
Bacaannya masih OK; cuma intonasi dan sebutannya saja yang sedikit tersalah. Tetapi, taklah pula bacaannya itu sebaik seorang qari musabaqoh atau tilawah. Hatta, ada juga orang Islam baka, yang sudah lama Islamnya sekalipun; masih tidak sempurna dari segi tertib dan tartil, dari segi sebutan dan tajwid serta lafaz panjangpendeknya.
Apa yang saya nampak, YB. berkenaan tidak mentafsir. Dia cuma membaca terjemahan "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan". Dia terjemah perkataan “ehsan” sebagai 'belas kasihan'. Itu saja.
Dalam Islam, ada satu perkara yang disebut “ Li iilaafi-quraisy “ seperti yang terkandung didalam surah Quraisy ayat 1. Maksud bergerak dari kalimat ini saya ertikan sebagai “menjinak atau menjinakkan.”
Menjinakkan siapa, jika tidak orang-orang yang belum Islam kepada Islam? Disini, apa salah orang Cina jika dia baca Quran dengan tujuan untuk berjinak-jinak dengan Islam? Jika katakan tersalah(katakan), maka dengan lemah lembut dibetulkan. Tak berbangkit sama sekali soal keperluan lapuran Polis oleh sesiapa.
Pada saya, ini percubaan menutup ruang dan menyekat langsung laluan non-Muslim mendekati Islam seperti yang pernah dilakukan oleh sebahagian dari penguasa masjid di tempat-tempat tertentu yang menghalang orang non Islam dari memasuki masjid. Sedangkan dalam surah ‘Abasa, jelas yang Nabi SAW menerima, menegur dan membimbing orang Islam dan non Islam didalam masjid.
Berbalik kepada isu, jika orang Cina baca salah, maka apa jaminan yang orang Melayu yang kebanyakannya datang dari jenis Islam baka inipun turut tidak salah ? Hal ini boleh disahkan oleh guru-guru tajwid seluruh negara pada bila-bila masa.
Ambil saja surah al-Fatihah yang menjadi ummul kitab.Saya tidak suka mencabar tetapi saya hampir pasti akan kekurangan yang juga turut melanda orang Melayu yang diperanakkan dalam suasana Islam sepenuhnya ini.satu lagi ialah apa gunanya Quran jika tidak untuk dibaca?Bagaimana orang bukan Islam mahu memahami jika diharamkan mereka dari bertatih membaca al-Quran.
Ini permulaan.Kita kena faham. Hatta, Saidina Umar sendiri diwaktu belum Islam(kufur) sekalipun direkodkan pernah merampas sesuatu dari tangan adik beliau. Beliau lalu mendapati bahawa ia satu tulisan dari Surah Toha lalu beliau membacanya dalam keadaan genggam dan lepas. Sebenarnya kufur zaman dulu adalah orang Cina atau Indialah di zaman sekarang. Sepatutnya, kita berbangga apabila orang bukan Islam boleh memetik dan cuba-cuba membaca ayat dari kitab suci kita.
Salah satu punca kelemahan dalam menguasai ilmu pembacaan al-Quran ini ialah tidak dapat menguasai tulisan jawi. Ini kerja siapa jika tidak dari kerja pemimpin Umno akibat dari “dasar anti- jawi” mereka yang amat dungu? Pemimpin Umno yang sebelum inilah?
Dalam keadaan pemimpin Umno yang meninggalkan Quran dan telah membunuh tulisan jawi itu, tiba-tiba, apabila ada pemimpin Cina membaca Quran dalam pelat yang dipandang salah, pemimpin Umno sibuk mendesak DAP mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.
Disini soalan pertama saya, mana lebih besar dosanya, menolak Quran dan mengherdik hukum Islam dengan dosa cuba membaca al-Quran? Soalan kedua saya, apa kata, jika dalam satu masa terdekat, ada pihak yang dapat buktikan yang ada juga pemimpin Melayu dari Umno yang membaca Quran dengan salah? Mahu atau wajarkah mereka dimalukan dengan dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka?
Saya perlu ingatkan di sini bahawa kita sedang hidup di zaman IT. Ingatlah bahawa bukti cukup mudah untuk dicari. Saya pernah tengok keajaiban teknologi internet yang ditunjukkan oleh kawan-kawan dan anak cucu saya.
Di sana ada kamera digital, adanya “youtube”, ada 3G, ada pen drive, CD, email dan pelbagai lagi rangkaian produk rakaman yang cukup sofistikated.
Dalam hal begini saya lebih gemar kita semua melakukan muhasabah. Jika takdirnyalah, rakan-rakan kita dari yang “belum Islam” ini ada kekurangan dari segi sebutan ayat-ayat Quran, kenapa kita tidak berfikir untuk adakan kelas-kelas asas pengenalan ilmu al-Quran kepada non Islam?
Dalam hal ini, gunakanlah semua rangkaian radio dan telivisyen kita untuk mengadakan slot-slot rancangan berupa kelas “mesra al-Quran” seperti yang ada dalam rancangan “learn a word a day” atau belajarlah satu perkataan satu hari . Mungkin juga ia boleh disusuli dengan kelas-kelas malam percuma di semua masjid dan surau.
Mungkin juga, kelas-kelas tuisyen malam disekolah-sekolah boleh juga diatur seperti sistem sekolah dewasa di awal tahun 60 an. Atau , kita ada IKIM, JAKIM, YADIM, dan Jabatan-Jabatan Agama Islam setiap Negeri. Saya percaya, kita boleh melakukan sesuatu ;mengambil kesempatan dan menafaat dari trend keghairahan baru yang sihat ini demi membangun bersama Islam dan mendekatkan non Islam kepada Islam.
Di sini, tidak bolehkah kita sama-sama cuba berfikir dalam kerangka pemikiran sebuah kerajaan. Janganlah terlalu mahu berpolitik secara berparti dalam serba-serbi sehingga segenap perkara hendak dipolitik mengikut syak wasangka kepartian.
Sikit-sikit menuntut maaf.Ini seperti yang didesak oleh Naib Ketua Bahagian Hulu Terengganu misalnya dalam akhbar semalam bertarikh 7 April 2009. Sikit-sikit lapuran polis. Sikit-sikit ini perkara perkauman, menghasut, sensitif dan boleh menimbulkan pecah belah.
Jika kita tidak sensitifkan isu ini maka tidak sensitif lah ia. Perkara ini bukannya susah sangat tetapi sengaja nak dikeliru dan nak disusah-susahkan. Mungkin dalam kekeliruan dan kemarahan yang sengaja di api-apikan itulah Umno mengharapkan dirinya dijulang.
Sekarang, orang sudah ramai yang cerdik. Ini khususnya dikalangan orang-orang muda. Mereka biasanya lebih cepat menghidu dan dapat membezakan terus antara durian dengan tempoyak.
Sebagai penutup, mari kita mendalami keluhan dukacita YB. Nga di atas pendirian terbaru Umno ini. Kata beliau, “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”
Pendek kata, pelik sungguh Umno ini. Dia tolak Islam tak salah. Orang Tionghua nak dekati Islam melalui bacaan al-Quran di kira salah ?




