TAFADDHAL

JIHAD FI SABILILLAH

JIHAD FI SABILILLAH
Memaparkan catatan dengan label Pakatan Rakyat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pakatan Rakyat. Papar semua catatan

Selasa, 19 April 2011

Video Lucah, Pengakuan RPK & Sarawak

Sepatutnya, catatan ini saya masukkan sebelum PRN, tapi kesempatannya baru kini. Renung-renungkanlah..

Video Lucah, pengakuan RPK dan Sarawak

Kalau dulu rakan karib, kini menjadi sebaliknya. Apakah segala ini tumbukan hebat daripada seseorang untuk seseorang?

Cuaca politik di Malaysia, kian kritikal. Entah cerminan mana dipandang oleh puak-puak tertentu untuk kepentingan parti, menjadi ‘aliran normal’. Adakah semua itu mudah digunapakai untuk menawan hati penduduk Sarawak menjelang kurang 24 jam PRN Sarawak?

Awal pengumuman mengenai PRN Sarawak, Malaysia digemparkan dengan kisah Datuk T tetang video membabitkan mantan TPM, dan kini dalam tempoh kempen pilihan raya Sarawak yang hanya berbaki sehari, serangan ke atas ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim diperhebatkan melalui siaran temuramah dengan penulis blog popular Raja Petra Kamaruddin.

Menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak 2011 kali ke 10 yang akan diadakan kurang 24jam lagi dengan penamaan calon telahpun dimuktamadkan pada 6 April 2011 yang lalu, sebanyak 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal dipertandingkan dan kali terakhir Negeri Sarawak mengadakan pilhanraya adalah pada 20 Mei 2006.

Kali ini, isu-isu politik semakin kuat dimainkan.Lebih-lebih lagi, persoalan mengenai Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang telah menjangkau tahun ke-30 menjadi Ketua Menteri Sarawak, lebih lama dari mana-mana menteri yang ada sebelum ini, namun beliau masih lagi bertanding untuk pilihanraya Negeri Sarawak kali ini dalam DUN Balingian.

Persoalannya, kita sering nampak, apabila tibanya pilihanraya, barulah wakil-wakil rakyat ini turun padang untuk berjumpa dengan rakyat jelata dan masyarakat pribumi. Sedangkan sebelum pilihanraya, nak nampak batang hidung pun susah, apatah lagi ingin minta bantuan sebagaimana majoritinya, masyarakat negeri Sarawak bukanlah dari orang yang senang.

Negeri yang paling banyak menghasilkan pendapatan buat Kerajaan Malaysia, pada kami, semacam dianak tirikan. Sedangkan apa yang di lihat, negeri Sarawak adalah aset tetap kepada Kerajaan Malaysia, berbanding negeri-negeri lain yang kebanyakannya banyak menjadi liabiliti.

Harapan rakyat negeri Sarawak, mereka memilih yang benar-benar dapat membantu mereka dan memacu rakyat dan ekonomi negeri Sarawak ke arah yang lebih baik dan maju dari segi kemudahan awam dan insfrastruktur yang lebih baik.

Sekalian rakyat Sarawak khususnya dan umumnya Malaysia, mendambakan satu politik rasional tanpa ada tipu daya semata menabur janji dan seterusnya dalam tempoh 5 tahun akan datang, puak-puak itu akan kembali meyerakkan mutiara indah.

Setiap kita ada agenda pasti. Namun yang utama, ia bersih dan telus dan tidak bertentangan fitrah dan syariat. Teruslah berdoa untuk malaysia agar sinarnya menerangi umat sejagat!

Rabu, 10 November 2010

Wajib Peduli!

Isu politik yang makin entah apa-apa semenjak kebelakangan ini, membuatkan saya muak untuk mencatatkan sesuatu. Maaf kerana ketulusan ini. Jangan risau, perjalanan politik juga tarbiyyah, masih saya sertai. Allah bersama hamba-hamba yang senantiasa mengingatiNya. Saya pasti dan yakin!

Saya memang banyak nak kongsikan dengan ummat bermacam. Tapi saya sepikan beberapa lama hingga memandangkan betapa negara ini sudah kacau bilau dek kerana politik. Saya tidak bermaksud menolak politik! Harap faham apa yang dimaksudkan.

Setiap pagi sebelum saya melakukan rutin harian iaitu bekerja, sambil bersarapan, sempat saya memasang telinga mendengar khabar palsu arus perdana. Saya sungguh bosan menontonnya. Dalam Al-Quran Allah banyak ulang ayat yang maksudnya, “Adakah kamu berfikir.”

Banyak manusia yang belajar tinggi hingga bertaraf global atau seantero, tapi bab menggunakan akal untuk berfikir, sangat ketinggalan. Buktinya, kenapa ramai yang boleh membutakan mata dan memekakkan telinga apabila ‘orang ternama’ menyinggung agama. Bayangkanlah jika yang terlepas cakap dengan tak sengaja mengenai agama apa pun, wah ISA atau bermacam tindakan dikenakan. Kejam lagi zalim! Tapi bagi manusia yang terang-terang hina dan menginjak-injak agama, tidak pula ‘yang ahli’ membuat fatwa atau menyuarakan bahawa “itu berdosa!”.

Sifir untuk Malaysia ini mudah sahaja, bagi mereka yang berharta, bertakhta, berjawatan selesa, boleh buat sesuka BERBANDING rakyat jelata, yang tidak punya apa-apa, boleh ditindas sesuka = inilah 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.. sungguh retorik semata-mata!

Isu parti biru cair pula berdendang beberapa hari ini. Kalau saya jujurnya, saya tidak tertarik langsung dengan apa yang dibawa flag biru cair itu! Kalian fikirlah sendiri ya!

Kini kita lihat sahaja apa tragedi selanjutnya yang akan terjadi.

Kepada parti yang saya sayangi kerana Allah. Banyak kewaspadaan dan semakan perlu diteliti. Bukan menunding jari padi manusia-manusia yang tidak punya harga diri!

Tunaikan apa yang pernah dijanji, kerana Allah itu sifatnya amat benci kepada yang memungkiri janji! AYUH tunaikan manifesto yang kalian lagukan sebelum dicalonkan. Allah menantikan apa yang telah kamu janjikan.

Salam perjuangan.

Ahad, 11 Oktober 2009

Bukanlah Bersifat Kekal


Melihat tuasi pilihanraya kecil (PRK) DUN Bagan Pinang secara dekat dan sepenuhnya, pelbagai pengalaman baru bertamu. Dari menyertai perarakan di hari penamaan calon seminggu yang lalu, meruntinkan diri menjejakki Port Dickson di setiap malam, melaksanakan tugasan-tugasan yang perlu, menjadi kenangan istimewa bagi diri saya semenjak menyertai sama dalam saf muslimat.

Berlainan suasana tika Pilihan Raya Umum (PRU-12)lalu, bersama kumpulan muslimat berkhidmat di DUN Paroi, Parlimen Rembau demi memperjuangkan Islam bersama parti PAS. Berbeza juga dengan PRK yang telah sebanyak 8 kali berlngsungnya (tidak termasuk Bagan Pinang) perkhidmatan dari sekalian warga PAS di negeri-negeri lain diperlukan. Tidak sewaktu PRU, hanya memandang wajah yang setia yang sama sahaja Dari hari awal menyusun strategi hinggalah hari pengundian.

Ragam, perilaku dan perbuatan kedua-dua pihak penyokong parti yang bertanding dapat dilihat jelas. Selama ini, tidaklah saya pernah menginfakkan diri sepenuhnya di PRK yang telah berlangsung sebanyak 8 kali itu.

Bertemu sahabat-sahabat dari negeri-negeri lain yang membantu menjadikan diri bertambah ‘terhibur’ dan saling bertukar cerita dan yang utama menimba pengalaman berharga dari mereka yang telah bergiat aktif di setiap PRK yang berlangsung semenjak PRU tahu lalu.

Bagi diri kalah menang bukan alasannya, yang penting usaha-usaha kita yang sedikit itu diredhai Allah. Sangat saya berharap mewakili pihak muslimat, janganlah kita kesalkan kiranya kekalahan mentamui. Sesungguhnya seberat-berat ujian dalam perjuangan melawan ’Parti Rasuah dan Pemusnah’ itu adalah ketika Allah memberi kemenangan. Kerana Allah inginkan kita sekaliannya mempersiapkan diri dengan ilmu juga pengisian rohani.

Bersyukurlah kita walaupun kalah dalam PRK kali ini. Allah ingin menguji kekuatan diri kita. Adakah kita menyesal dengan perjuangan yang dilakukan selama menanti hari pengundian? Atau adakah kita akan terus menunding jari ke pihak mereka? Apa pun, fikirkanlah HIKMAH yang Allah Yang Maha Esa hidangkan buat kita.

Pertamanya kita perlu teruskan perjuangan mendaulatkan Agama Allah di muka bumi Malaysia ini. Bukan sekadar kata-kata tetapi perbuatan juga adalah peringatan yang utama Allah jamukan kepada kita.

Tuasi yang menjelekkan terlihat dari pihak bn-umno. Pelbagai provokasi dilemparkan oleh mereka demi untuk memulakan pertelingkahan dengan Pakatan Rakyat. Aksi ejek mengejek yang dicetuskan penyokong bn-umno tika meraih undi di Sekolah Kebangsaan Panglima Adnan.



Lain pula reaksi di penyokong Pakatan Rakyat, ada yang tenang tidak ketinggalan juga ada yang membalas dengan nada emosi juga.


Bagi saya yang ingin suasana yang harmoni dan diredhai, tadzkirah ringkas mengenai Sabarnya Rasulullah dalam mendepani ejekan-ejekan yang dilemparkan kepada baginda. Kata-kata keramat ’Fasbir Sabran Jamila’ tetap ana lontarkan penenang hati sendiri juga sekalian yang melalui tuasi tersebut. Ada sebahagiannya menerima dengan terbuka tidak lain mencebikkan bibir tanda tidak menyetujui.

Perti acara ’kanak-kanak’ dapat disaksikan di sini. Pihak yang melakukan provokasi memulakan membaling botol tanda geram dan semua itu disusuli oleh Pakatan Rakyat pula kerana serangan di pihak bn-umno bertalu-talu.

Situasi sedemikian berterusan berlaku beberapa ketika yang lain akibat dari penggunaan kata-kata yang ’melampau’. Puak-puak mereka memulakan balingan batu. Dalam beberapa keadaan yang lain pertelingkahan itu dileraikan oleh pasukan unit simpanan persekutuan (FRU), namun perkara yang tidak diingini itu menyebabkan ada beberapa orang cedera.

Begitulah ragam dan gelagat seharian di tempat meraih undi. Apa yang ana rasakan kita perlulah berilmu dan senantiasa mempertingkatkan usaha pada diri untuk bersifat sabar dan tabah serta kentalkan jiwa apalagi raga untuk mendepani ’musuh-musuh Allah’ itu.

Saat ana melakarkan kata bagi rungan blog ini, pengumuman ketidakjayaan telah diketahui. Apapun, ana mengharapkan kita sekaliannya muhasabah kembali dengan ujian yang Allah hidangkan ini. Santaplah dengan hati yang terbuka dan redha, insya`allah.

Diterima juga sms dari teman-teman dan sahabat-sahabat, mencuitkah hibakah rasa diri di atas ketidakjayaan PAS dalam PRK kali ini? Demi Allah sesungguhnya ana sangat merasakan syukur walaupun tidak menang. Kerana ana tahui Allah sedang berbicara dengan diri juga sekalian kita. Sedarlah ujian itu bukanlah bersifat kekal, insya`allah kita sama muhasabah kembali, dan redhalah akan ketentuan Illahi.

TERUSKAN PERJUANGAN

JANGAN TAKUT, JANGAN GENTAR

TINGKATKAN PERIBADATAN

JADILAH INSAN YANG SABAR

ALLAHU AKBAR... ALLAHU AKBAR... ALLAHU AKBAR

SMNS

-BAGAN PINANG-

Isnin, 28 September 2009

PAS : Calon MB - Insya`allah

Analisis oleh Adib Zalkapli

KUALA LUMPUR, Sept 24 — Ketika para pemimpin Umno di Teluk Kemang dan di pusat sedang dilihat berbeza pendapat tentang calon pilihan raya kecil Bagan Pinang, PAS juga berhadapan dengan dilema pemilihan calonnya.

Bagi Umno pemilihan bekas Menteri Besar Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menjanjikan kemenangan mudah di Bagan Pinang, tetapi memberikan implikasi besar di peringkat nasional seperti yang telah dijelaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah, kerana rekod salah laku ketua bahagian Umno Teluk Kemang itu.

PAS pula yang dijangka tewas di kawasan Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan itu pula berhadapan dengan pelbagai faktor yang perlu diambil kira dalam pertimbangan politik sebelum memilih calonnya.

Negeri Sembilan dilihat para pendukung Pakatan Rakyat (PR) sebagai negeri keenam yang akan ditawan mereka.

Barisan Nasional (BN) kini memerintah tanpa majoriti dua pertiga buat kali pertama selepas memenangi hanya 21 daripada 36 kerusi negeri pada pilihan raya umum lalu.

DAP menang 10, sementara PKR 4 dan PAS hanya mendapat satu walaupun bertanding 13 kerusi — terbanyak antara tiga parti PR.

Maka Bagan Pinang menjadi medan untuk PAS — yang dalam semua pilihan raya kecil sebelum ini menunjukkan kehebatan jenteranya — membuktikan bahawa parti itu yang paling layak mengepalai PR di Negeri Sembilan dan mempunyai bakat-bakat yang boleh diketengahkan untuk kepimpinan negeri dan menjadi menteri besar.

DAP walaupun sudah tentu akan mendominasi pentadbiran Negeri Sembilan jika PR mengambil alih, belum tentu dapat menawarkan calon menteri besar kerana perlembagaan negeri itu juga meletakkan syarat jawatan itu hanya untuk orang Melayu dan Islam kecuali dikehendaki sebaliknya oleh Yang DiPertuan Besar.

PAS Negeri Sembilan telah mencadangkan tiga nama kepada jawatankuasa pusat — pengerusi negeri Zulkefli Omar, ketua PAS Teluk Kemang Ramli Ismail dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri Kassim Tahir.

Ramli adalah seorang pesara tentera yang pernah berkhidmat di Port Dickson sehingga tahun 1990 dan pengaruhnya diharap dapat membantu kempen PAS di Bagan Pinang yang mengandungi hampir 5,000 pengundi pos yang kebanyakannya anggota tentera.

Kassim pula adalah penduduk asal Kampung Si Rusa di pesisir pantai Port Dickson dan berpengaruh di kampung sekitarnya kerana latar belakangnya sebagai guru agama dan pada usia 69 tahun, masih lagi aktif memberikan kuliah agama di kawasannya.

“Jika bercakap soal calon menteri besar, maka Zulkefli Omar adalah orang yang boleh dipersiapkan, dia juga adalah ahli politik sepenuh masa,” kata ahli strategi PAS Dr Zulkefly Ahmad kepada The Malaysian Insider tetapi menambah soal calon menteri besar belum difikirkan oleh parti itu lagi.

Zulkefli, 45, adalah seorang pemegang ijazah sarjana dan telah tewas tiga kali dalam pilihan raya sebelum ini — beliau dikatakan mempunyai peluang paling cerah menjadi calon di Bagan Pinang.

Pada pilihan raya umum lalu, beliau tewas di kerusi Lenggeng dengan majoriti 1,285.

Bagaimanapun di kalangan pemimpin PAS ada juga yang bimbang pencalonan Zulkefli akan membawa kesan buruk kepada parti itu.

“Tidak baik untuk parti sekiranya seorang pesuruhjaya negeri tewas dengan teruk dalam pilihan raya kecil,” kata seorang lagi pemimpin PAS yang bimbang dengan kewujudan pengundi pos yang tinggi —kira-kira 30 peratus daripada jumlah pemilih.

Jawatankuasa PAS pusat akan bermesyuarat pada 29 September ini di Port Dickson untuk menetapkan nama calonnya dan pengumuman akan dibuat dalam satu ceramah pada malam itu juga.

Jika Zulkefli dicalonkan, ia menjadi isyarat paling jelas bahawa parti itu sedang mempersiapkan diri untuk mentadbir Negeri Sembilan.


Selasa, 25 Ogos 2009

Kemenangan Untuk Islam


Alhamdulillahi Rabbai `alamin…

Walaupun pelbagai taktik kotor yang digunakan Umno-BN dalam pilihanraya kecil Dun N11 Permatang Pasir namun taktik berkenaan terbukti gagal apabila calon Pas Salleh Man dipilih pengundi Dun berkenaan untuk menjadi wakil rakyat mereka.

Salleh Man yang mendapat 9618 undi, menang dengan majoriti 4551 undi sekaligus mengalahkan calon Umno-BN Rohaizat Othman yang hanya mendapat 5067 undi.

Sebelum ini, bekas Adun Permatang Pasir - Allahyarham Mohd Hamdan Abdul Rahman telah mengalahkan calon Umno-BN Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti sebanyak 5,433 undi.

Pilihanraya kecil kali ini juga menyaksikan seramai 20,350 pengundi berdaftar yang layak keluar mengundi dengan peratusan pengundi - 72 peratus terdiri daripada kaum Melayu, 25.7 peratus kaum Cina, 1.2 peratus kaum India dan 0.2 peratus lain-lain.

Kemenangan ini sekaligus menyaksikan Salleh Man dapat mengekalkan dan sekaligus mempertahankan kerusi Dun N11 yang sebelum ini disandang oleh Allahyarham Mohd Hamdan sejak pilihan raya umum 1999.

Kejayaan ini juga menyaksikan Pas berjaya mempertahankan kerusi tradisi yang telah disandang sejak tahun 1999.

Pilihanraya kali ini memperlihatkan kekalahan kali ke-7 berturut-turut BN dalam beberapa siri pilihan raya kecil yang diadakan sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac tahun lalu.

Malam ini bertempat di Markaz induk Permatang Pasir juga, akan diadakan satu ceramah bagi meraikan kemenangan Pas yang akan dihadiri oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Allahu Akbar.. Allahu Akbar.. Allahu Akbar.


Khamis, 14 Mei 2009

BN-Umno "Menegakkan Benang Yang Basah"

Inilah Menteri Besar yang sah.

Semakin menjadi-jadi kemelut di Perak angkara puak-puak BN Umno yang tidak puas hati. Dan kerana itu makin tampak wajah-wajah sebenar BN dan Umno. Dengan tidak puas hati keputusan mahkamah, dia beralih ke mahkamah rayuan pula. Macam gila kuasa.


Sebelum ini, bukan main puak-puak BN dan Umno mengatakan YAB Dato Seri Ir Nizar sebagai gila talak dan macam-macam lagi. Namun realitinya rakyat sudah ketahui. Yang gila talak itu adalah MB tak sah Perak yang sangat perasan juga tak sedar diri bahawa dialah MB.

Konflik di Perak sudah berakhir sebenarnya. Tetapi angkara puak-puak pemerintah Malaysia ini yang masih seperti 'menarik rambut dalam tepung' atau perumpamaan lain 'menegakkan benang yang basah'. Dan mereka sangka rakyat akan berdiam diri sahaja. Dan apa yang pasti tidak semudah itu.

Perampas Negeri perak

Takut tidak jadi MB, pelbagai cara kotor digunakan oleh media arus kerajaan. Memburukkan Parti Perjuangan(Pakatan Rakyat) dengan sesuka mereka. Namun mereka ini perlu sedar, kita hidup kini di Akhir Zaman. Segala yang Hak pasti tertegak. Walau mereka menggunakan pelbagai cara sekalipun, kebenaran akan terserlah. Dan yang utama mereka perlu ingat, doa-doa orang yang dianiaya itu lagi Allah dengar.

Doa ana mewakili sahabat-sahabat muslimat lain, moga Allah memberi petunjuk pada kalian yang tidak menerima hakikat itu. Sedarlah kalian BN dan Umno, sesungguhnya kalian tidak diperlukan Rakyat Malaysia lagi. Kalau tidak percaya, silakan cuba. Mudah sahaja, berikan Parti Perjuangan Pakatan Rakyat memerintah selama satu penggal, insya`allah tidak akan ada kemelut sebegini lagi dalam sejarah politik Malaysia.

"Meludah ke langit, muka yang terkena.."(khas buat BN-Umno-MB tak sah Perak)

Fikirkanlah wahai puak-puak Umno BN.