TAFADDHAL

JIHAD FI SABILILLAH

JIHAD FI SABILILLAH
Memaparkan catatan dengan label Kemelut Perak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemelut Perak. Papar semua catatan

Rabu, 10 Jun 2009

ISLAH kan Untuk PULIH kan

Kegawatan politik di Perak sebenarnya berpunca daripada kegawatan ilmu dan aqidah di dalam dada umat Islam yang berbangsa Melayu di Malaysia akibat lemahnya kita pada ilmu dan ketaqwaan.


Sewaktu ini sudah ramai yang menulis ulasan dan komen, ada yang membawa ayat Allah yang bermaksud : “Dan sesungguhnya inilah umat kamu, umat yang satu, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaKu. Kemudian mereka itu berpecah-belah dalam urusan mereka kepada beberapa pecahan, tiap-tiap puak berbangga dengan apa yang ada pada mereka. Maka biarkanlah mereka tenggelam dalam kesesatannya itu hingga ke suatu masa”. (Surah al-Mukminun, ayat 52-54).

Mereka ini ialah golongan yang menyisih diri dan tidak mahu mencampuri urusan politik yang semakin gawat dan dipenuhi oleh permusuhan dan bersikap mengelak daripada terjebak oleh bakaran-bakaran api permusuhan atau percikannya. Mereka mengambil sikap persis seperti pesan nabi kepada ‘Abdullah bin ‘Umar r.a yang pernah memberitahu :“Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu bersabda: “Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir”. (Riwayat al-Bukhari).

dan ada pula yang membawakan nasihat dari ayat Allah yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berselisihan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Surah an-Nisa : 59)

Ini pula ialah pihak yang menyeru supaya masyarakat kembali mentaati pemimpin dan ketua negara dengan mengambil jalan mudah untuk menutup pintu perselisihan dengan memaksa pihak yang memberontak dan tidak berpuas hati itu mengorbankan kehendak dan ketidak puasan hati mereka demi kemaslahatan orang ramai. Biarlah ketidak adilan dan kezaliman itu berterusan daripada pertumpahan darah dan kekocohan bermahajarela serta tersebar ke merata-rata daerah dan negeri.

Manakala kita yang telah melihat dan memerhati sejarah politik, undang-undang tubuh negeri, perwatakkan masing-masing yang tidak mungkin mengalah dan berundur daripada mempertahankan pendapat dan hak masing-masing maka wajarlah kita kembali kepada jalan penyelesaian terbaik yang disediakan oleh Al-Quran seperti yang disebut di dalam surah Al-Hujurat yang bermaksud : "Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya! Tapi kalau yang satu itu melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai surut kembali pada perintah Allah. Kalau dia telah surut, damaikanlah antara keduanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil." (Al-Hujurat : 9)

Islah itulah jalannya


Pada waktu ini hanya dengan campur tangan ulama dan tokoh masyarakat yang berpengalaman sahajalah dapat mengelakkan kegawatan ini daripada menular dan bertambah buruk. Alim ulama dan mereka yang berkemampuan di dalam mengendalikan masyarakat wajar tampil mendamaikan pihak-pihak yang berselisih dengan mengadakan islah (pembaikan) melalui sulh (perdamaian) atau perbincangan dua hala yang bermaksud mencari jalan penyelesaian.

Tidak wajar ulama berkecuali ! menghindarkan diri atau menjauhkan diri daripada terjebak ke dalam masalah pergaduhan umat Islam ini kerana ketiadaan ulama akan mengakibatkan yang jahil bercakap, berhujah dan bertempik ke sana ke mari menjadi hero perpecahan ummah.

Allah berfirman yang bermaksud:“Berpeganglah kalian semua kepada tali Allah dan janganlah kalian bercerai berai.” (Ali ‘Imran: 103)

Al-Imam Al-Barbahari rahimahullah berkata: “Hendaknya kalian berpegang teguh dengan atsar-atsar dan para ulamanya. Bertanyalah kepada mereka dan duduklah bersama mereka, serta raih ilmu dari mereka.” (Syarhus Sunnah hal. 111)

Ulul Amri bermaksud Pemerintah dan Ulama' maka apabila pemerintah sudah tidak dapat dipercayai maka ulama'lah harapan ummah.

Sebuah majlis perbincangan perlu di adakan di antara wakil pakatan rakyat (PR) dengan wakil pihak barisan nasional (BN) yang akan dikendalikan oleh ulama' untuk mencari jalan penyelesaian.



Orang awam harus bersikap mengasingkan diri daripada mencampuri urusan umat


Kejahilan itu ialah racun dan akan menyebar seperti tersebarnya wabak apabila ianya bercampur dengan khalayak ramai dan massa. Orang ramai perlu bersikap sabar dan mematuhi arahan Allah swt yang disebut di dalam Al-Quran yang bermaksud : "Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat." (Ali-Imran : 105)

"Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya dan mereka berkata: "Bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amalmu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil." (Al-Qasos : 55)

Berpesan-pesanlah sesama orang awam agar tidak menjadi Ruwaibidoh, siapakah golongan ruwaibidoh ini ?

Di dalam hadis ada menyebut bahawa rasulullah pernah bersabda : “Sesungguhnya sebelum kedatangan kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang berdusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang membuat khianat, dan yang bercakap ketika itu ialah al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” jawab Nabi : Orang yang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim.

Hidupkanlah budaya menggesa ulama supaya mengambil tindakan, merujuk kepada mereka apabila mempunyai permasalahan dan jadikanlah mereka sebagai kepimpinan masyarakat.

Ulama yang dimaksudkan ialah benar-benar ulama' bukanlah sekadar yang bergelar ustaz atau ijazah kedoktoran sebalik mereka yang diakui kealiman dan kepakaran menyelesaikan masalah umat dengan keilmuan daripada Al-Quran dan As-Sunnah.

Hidupkanlah budaya islah (pembaikan) bukan penghukuman dan pembantaian atau pergaduhan disebabkan oleh perbezaan dan perselisihan. Ingatlah Palestin masih berdarah, berita mengenainya masih belum pun surut dan hilang daripada kaca TV dan umat Islam di negara kita sudah disibukkan dengan kegawatan dan pergaduhan sesama agama dan bangsa.

Allahuakbar ! Allahuakbar ! Allahuakbar !

Pesanan akhir saya buat kali ini, biarlah kita beramal dengan firman Allah yang bermaksud : "Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah
keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari karunia Allah dan keridhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud..." (Al-Fath : 29)

Fahamilah aqidah ! khasnya yang berkait al-wala wal bara' sebelum mulut itu celupar dan cekap menghina dan mencela sesama saudara demi membela musuh kerana kejahilan agama.

Jumaat, 22 Mei 2009

Kembalikan Kepada Mahkamah Rakyat

Mahkamah Rayuan hari ini mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah.

Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Panel tiga hakim itu - yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian semalam - sebulat suara menerima rayuan Zambry.

Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop.

Mahkamah senyap ketika penghakiman dibaca.

Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail - sebagai pencelah - turut hadir. Manakala peguam Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan M Reza Hassan menjadi pemerhati bagi pihak BN.

Pada 11 Mei lalu, mahkamah tinggi mengumumkan Mohamad Nizar sebagai menteri besar sah setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.

Abdul Aziz memutuskan bahawa wakil rakyat PAS itu tidak pernah mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN Perak.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Mohamad Nizar.

Tetapi kegembiraan menteri besar Pakatan Rakyat itu tidak kekal apabila Mahkamah Rayuan keesokannya membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah tersebut.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan berhubung perkara tersebut hari ini.

Sementara itu, Sulaiman memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Manakala sekumpulan 200 orang di luar mahkamah, kedengaran melaungkan rasa tidak puashati mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Realitinya dari keputusan mahkamah rayuan itu tidak bersikap adil dan hanya semata-mata berpihak kepada parti kerajaan khususnya BN dan Umno.

Sewajarnya pihak BN dan Umno, kembalikan kepada MAHKAMAH RAKYAT untuk membuat keputusan atas apa yang dimaklumkan.

Apa pun ana mewakili sekalian muslimat mendoakan YAB MB Dato Seri Ir NIzar (MB yang sah Perak yang telah diputuskan oleh mahkamah tinggi minggu lalu) tabah dan sabar menghadapi ujian ini. Teruskan perjuangan dato hingga yang hak kembali kepada yang hak.

Kalau kerajaan BN dan Umno berani, dengan slogan satu Malaysia nya, berilah Rakyat membuat keputusan atas kemelut politik Negeri Perak ini. Kembalikan keputusan kepada rakyat, bukan kepada hakim yang mengikut telunjuk kerajaan. Ingatlah balasan Allah.

Moga Allah tunjuki hati kalian.

Khamis, 14 Mei 2009

BN-Umno "Menegakkan Benang Yang Basah"

Inilah Menteri Besar yang sah.

Semakin menjadi-jadi kemelut di Perak angkara puak-puak BN Umno yang tidak puas hati. Dan kerana itu makin tampak wajah-wajah sebenar BN dan Umno. Dengan tidak puas hati keputusan mahkamah, dia beralih ke mahkamah rayuan pula. Macam gila kuasa.


Sebelum ini, bukan main puak-puak BN dan Umno mengatakan YAB Dato Seri Ir Nizar sebagai gila talak dan macam-macam lagi. Namun realitinya rakyat sudah ketahui. Yang gila talak itu adalah MB tak sah Perak yang sangat perasan juga tak sedar diri bahawa dialah MB.

Konflik di Perak sudah berakhir sebenarnya. Tetapi angkara puak-puak pemerintah Malaysia ini yang masih seperti 'menarik rambut dalam tepung' atau perumpamaan lain 'menegakkan benang yang basah'. Dan mereka sangka rakyat akan berdiam diri sahaja. Dan apa yang pasti tidak semudah itu.

Perampas Negeri perak

Takut tidak jadi MB, pelbagai cara kotor digunakan oleh media arus kerajaan. Memburukkan Parti Perjuangan(Pakatan Rakyat) dengan sesuka mereka. Namun mereka ini perlu sedar, kita hidup kini di Akhir Zaman. Segala yang Hak pasti tertegak. Walau mereka menggunakan pelbagai cara sekalipun, kebenaran akan terserlah. Dan yang utama mereka perlu ingat, doa-doa orang yang dianiaya itu lagi Allah dengar.

Doa ana mewakili sahabat-sahabat muslimat lain, moga Allah memberi petunjuk pada kalian yang tidak menerima hakikat itu. Sedarlah kalian BN dan Umno, sesungguhnya kalian tidak diperlukan Rakyat Malaysia lagi. Kalau tidak percaya, silakan cuba. Mudah sahaja, berikan Parti Perjuangan Pakatan Rakyat memerintah selama satu penggal, insya`allah tidak akan ada kemelut sebegini lagi dalam sejarah politik Malaysia.

"Meludah ke langit, muka yang terkena.."(khas buat BN-Umno-MB tak sah Perak)

Fikirkanlah wahai puak-puak Umno BN.