TAFADDHAL

JIHAD FI SABILILLAH

JIHAD FI SABILILLAH

Rabu, 23 April 2008

Hadiah Buat Pendakwah..Bacalah!

"….Manusia itu bagaikan unta, di antara seratus ekor unta itu
engkau belum tentu menemui seekor yang boleh dijadikan tunggangan…"
(Muttafaqun 'Alaih, dari Ibn Umar)

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana masih lagi memberikan peluang kepada ana untuk mencoret sedikit perkongsian walaupun masa yang tersisa ini agak terhad,dengan pelbagai program yang agak menarik.. Berbekalkan sedikit ilmu dan pengalaman, di sini ana menulis wakalah buat para dai khususnya mereka yang bergelar "ikhwah" dalam jalan dakwah ini. Warkah ini terukir hasil olahan pengalaman ana sepanjang berada dalam suasana dakwah di sekeliling ana.
Terlebih dahulu, biarlah ana mengucapkan tahniah buat para remaja dakwah masa kini yang mempunyai semangat jihad dan dakwah yang begitu tinggi. Semangat juang inilah yang setiap dai harus benamkan dalam hati-hati nubari mereka. Syabas juga ana lontarkan buat mereka yang bertungkus-lumus membawa panji-panji Islam, dalam rangka memartabatkan Islam sebagai agama Allah sekaligus meneruskan usaha-usaha Baginda SAW.
"Barang siapa yang mencari selain Islam sebagai deen, maka tidaklah ia diterima…"
(Al-Imraan)

Namun, sekiranya semangat-semangat ini tidak dipandu dengan sunnah dan Al-Quran, maka akan tercicirlah para dai dari landasan yang telah Baginda SAW gariskan. Pada kesempatan ini, suka ana nyatakan di sini, keberkesanan dakwah dan hala tujunya juga tarbiah mendidik manusia sebenarnya, dibayangi oleh sikap para dai. Baik buruk tingkah lakunya, pergaulannya, pegangannya, dan pelbagai lagi akan mewarnai corak dan patern dakwah yang dibawa. Sikap setiap dai haruslah disulami dengan petunjuk sunnah dan Al-Quran agar dakwah ini sampai dan terkesan pada hati-hati setiap manusia.

Wakalah ini bakal mengoreksi krisis-krisis sikap yang melanda segelintir dai kini di mana sikap-sikap ini yang akan menjadi penghalang kepada dakwah itu sendiri dan sekiranya ia tidak dibendung, ini akan menyebabkan dakwah itu lesu lantas karam di tengah lautan masalah ummah. Krisis sikap yang bertakhta di hati segelintir para dai di jalan dakwah ini haruslah diperbaiki dan dirawat dengan segera. Sekiranya tidak dirawat, seruan yang indah ini bertukar kelam dan suram dan hanya akan memakan diri para dai tersebut sekaligus merosakkan dakwah dan seruan mereka.
Antara krisis-krisis sikap yang harus para dai jauhi adalah :

TIDAK MENGAMBIL BERAT PERSOALAN AKIDAH ATAU TAUHID :
Di sini,saya tidak menyeru untuk memberat-beratkan atau melebih-lebihkan perbincangan tauhid, namun, bagi seorang dai, sekurang-sekurangny a mereka wajib mendalami dan memahami ilmu tauhid ini. Dr. Yusuf Qardhawi pernah menyebut ketika dia membahaskan masalah tauhid, beliau dengan tegas mengatakan kita tidak punyai masa untuk membincangkan sangat masalah tauhid secara mendalam, namun, sebagai dai, kita wajib mengetahuinya sebagai bekalan dakwah kita nanti tidak kira kepada muslim atau non-muslim. Sila lihat perbincangan seterusnya di bawah.
Seorang dai sepatutnya mengambil pendekatan yang paling idealistic iaitu mencontohi sikap dan tindakan baginda Rasulullah SAW. Dakwah Baginda SAW yang dimulai dengan memperkenalkan tauhid serta membersihkan akidah-akidah sesat anutan masyarakat Jahiliyyah arab ketika itu haruslah menjadi pedoman setiap para dai. Apa yang ditunjukkan Rasulullah SAW ini sangatlah idealistic dan dengan dakwah selama 13 tahun inilah, Rasulullah SAW berjaya melahirkan ratusan sahabat yang mantap imannya biarpun diuji dengan pelbagai halangan dan seksaan. Sekiranya seorang yang bergelar dai tidak mencontohi sikap Rasulullah SAW ini, maka, dakwah yang diseru hanya akan sia-sia. Sikap tidak mengutamakan dakwah tauhid kepada masyarakat wajib dihindari dan ditinggalkan oleh para dai khususnya mereka yang mengelari diri mereka sebagai 'ikhwah' fil Islam. Sikap ini jelas terpancar apabila mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan perbincangan harakiyyah dan tidak mendalami perkara-perkara tauhid. Segelintir dai kini merasakan cukuplah dengan mengetahui Allah itu wujud. Tidak punyai masa untuk mengetahui tauhid Uluhiyyah, Rububiyyah dan Asma' Wa As-Sifat. Mereka juga lupa suatu masa nanti, dakwah mereka bukan terbatas kepada golongan Muslim sahaja, namun, ia lebih luas. Pelbagai masyarakat dengan pelbagai fahaman dan pemikiran. Cuba para pembaca bayangkan, sekiranya tiba satu masa nanti, anda akan berdepan dengan golongan non-Muslim yang jauh lebih hebat mengetahui tentang Islam. Golongan-golongan missionaries yang kini kuat menjalankan dakyah-dakyah mereka akan dengan mudah meratah anda sekiranya anda tidak benar-benar memahami tauhid(akidah) kita.

Budaya hedonisme kini juga memungkinkan anda tewas di tangan-tangan syaitan. Tugas menyesatkan akidah ummah adalah tugas utama syaitan dan tugas ini akan berjalan dengan mudah sekiranya kita para dai, tidak mengambil endah peri pentingnya mendalami tauhid ini.

Tugas menyedarkan manusia akan tauhid kepada Allah adalah perkara yang harus diambil berat. Kita juga para dai sepatutnya mewajibkan diri untuk memahami apa itu tauhid dan akidah kita. Kita wajib mendalami ilmu tauhid dan menjadikan ia sebagai teras kepada dakwah kita. Namun, sikap para dai kebelakangan ini yang tidak mengambil berat tentang tauhid ini menyebabkan rapuhnya gagasan dakwah mereka. Mereka lebih suka berlepas tangan dan mengatakan sesiapa yang terlalu banyak membincangkan persoalan tauhid sebagai mereka yang tidak memahami prioriti ummah.dan suka kepada perkara remeh-temeh. Berkata Syeikh Abu 'Utsman As-Sobuni (499H) rahimahullah :
"….Ciri-ciri ahlul bid'ah adalah sangat jelas dan yang paling jelas adalah sikap mereka yang secara terang-terang memusuhi dan menghina Ahlus Sunnah dan Ahli 'Athar serta menuduh mereka dengan tuduhan yang buruk seperti Hasyawiyyah (orang yang mementingkan perkara-perkara remeh), Al-Jahalah (orang yang jahil), dan Al-Musyabbihah (orang yang menyerupakan Allah dengan makhluk)…"
(Ismail Ibn Abd. Rahman Ibn Ahmad, Aqidah As-Salaf Wa Ashab Al-Hadith, oleh Hafiz Firdaus Abdullah, Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyyah Wahhabiyyah, cetakan : Perniagaan Jahabersa, Johor Bharu, 2003, Hal : 25)
Dan paling menyedihkan lagi apabila perbincangan berkenaan "harakiyyah" dianggap adalah lebih aula bagi mereka berbanding perkara-perkara tauhid. Ini jelas terbukti apabila sesetengah mereka ditanya tentang masalah tauhid Uluhiyyah, Rububiyyah dan Asma Wa As-Sifat, mereka dengan jelas tidak mengetahuinya. Bahkan ada antara mereka yang berpegang kuat terhadap sifat-sifat 20 yang jelas dipengaruhi oleh falsafah Greek dan Yunani dan diperkembangkan oleh golongan sufi. Mempelajari ilmu kalam ini sangatlah merumitkan. Apabila ditanyakan teori-teori tarbiah nukilan para tokoh haraki, mereka dengan pantas menjawab dengan begitu yakin. Bukanlah tidak bagus mengetahui teori-teori dakwah ini, akan tetapi, kita hendaklah menjadikan kitab-kitab akidah karangan tokoh-tokoh Islam muktabar sebagai rujukan utama dan awal yakni sekitar Uluhiyyah, Rububiyyah dan Asma Wa As-Sifat . Kita hendaklah merasakan, betapa peri pentingnya memahami dan mendalami ilmu tauhid supaya ia menjadi benteng dan juga bekalan buat diri kita apabila berhadapan dengan mad'u majmuk (tidak kira muslim atau non-muslim).
Mari kita lihat apa yang Rasulullah SAW pesan kepada kita semua :
" Seawal-awal perkara yang hendak kamu dakwahkan kepada manusia haruslah tauhid kepada Allah…."
(Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.6937).
Mari kita lihat komentar para ulamak Mazhab dalam mempelajari ilmu sifat 20. Ana hanya memetik daripada Imam Syafie dan Maliki dan beberapa imam lain sahaja kerana kebanyakannya para dai di Malaysia, mereka mengatakan diri mereka bermazhab fiqh Maliki dan Syafie namun dari segi akidah mereka tidak pula selari dengan tokoh-tokoh Mazhab ini :

1)Berkata Al-Imam As-Syafie terhadap masalah sifat 20 yang diimani oleh Ahlul Kalam. Berkata Imam Syafie, ..Hukum aku kepada mereka yang terlibat dengan ilmu kalam ialah disebatnya mereka itu dengan kayu dan dibaling dengan kasut lalu di bawa berarak ke sekeliling jalan-jalan sambil dilaungkan kepada orang ramai bahawa inilah hukuman bagi mereka yang meninggalkan kitab Allah dan sunnah rasul-Nya
(riwayat Imam Al-Baihaqi dalam Manaqib Syafie ms. 462 Jilid 1)

2)Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka....
(Al-Qaradawi, Thaqafah al-Daiyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat (1991)

3)Berkata Imam Malik (meninggal 179 H) rahimahullah : "..jagalah diri kamu daripada perkara-perkara bid'ah. Ditanyakan kepada Imam Malik : Wahai Abu Abdillah (gelaran Imam Malik) apakah perkara bid'ah itu? Beliau menjawab : Ahli Bid'ah ialah orang yang bercakap secara mendalam mengenai nama-namanya, sifat-sifat- NYA,qudrat- NYA. Mereka tidak bersikap diam terhadap apa yang telah diam mengenainya oleh para sahabat dan pengikut-pengikut mereka dengan baik..."
(Siyar A'lamin Nubala' 8/48-133, Tahzib at Tahzib)

4)Berkata Imam Mas'ud Al-Baghawi : "..dan telah sepakat di kalangan ulamak salaf dari Ahlussunnah wal Jamaah dalam melarang berbahas dan berbalahan mengenai sifat-sifat Allah (Sifat 20 yang terhad) dan mencegah daripada memasuki ke dalam perbicaraan ilmu kalamdan mempelajarinya. ."
(Siyar A'lam Nubala' 19/439 Thobaqat As-Syafieyyah 7/75-80
dan Imam Al-Baghawi syarhussunnah 1/216)

5)Berkata Imam Nawawi (meninggal 679H) : "..sesungguhnya imam kita As-Syafie adalah bersangatan dari segi mengHARAMkan usaha menyibukkan diri dengan mempelajari ilmu kalam. Beliau cukup banyak bercakap hal mengharamkan ilmu kalam ini. Beliau memberatkan dendaan ke atas orang yang mempelajarinya serta mengganggap sangat KEJI perbuatan itu dan BESAR DOSA padanya. Antaranya ialah : "..bahawasanya seorang hamba itu mati bertemu Allah dengan segala dosanya yang selain dari syirik adalah LEBIH BAIK daripada dia mati bertemu Allah dalam keadaan dia berpegang walaupun SEDIKIT daripada ajaran ilmu KALAM..." Memang banyak perkataan-perkataan Imam Syafie yang mengharamkan ilmu-ilmu kalam seumpama yang tersebut itu.."
(Imam Nawawi - Al-Majmu' 1/48)

6)Berkata Imam Syafie lagi : "..hukuman aku ke atas ahli kalam ialah bahawa dipukul mereka dengan pelepah tamar dan dimuatkan mereka ke atas unta dan diarakkan mereka di tengah-tengah orang ramai serta dikatakan : Inilah balasan orang yang meninggalkan Al-Kitab dan As-Sunnah serta mengambil ilmu kalam sebagai cara perbahasan tauhid di sisi mutakallimin. ."
(Hilyah Al-Auliya' 9/116, Syarhussunnah 1/218)

7)Imam Malik kata lagi : "..tidak harus menerima saksi ahlul bid'ah dan al-ahwak(ahli- ahli hawa).."

berkata imam Khuwiz Mindad (ulamak maliki - murid al-abhari kurun 4) : "...ahli hawa di sisi imam malik dan sekelian sahabat kami ialah AHLUL KALAM, kerana tiap-tiap ahli kalam ialah sebahagian dari ahli hawa dan ahli bid'ah samada kumpulan Asya'irah atau bukan Asya'irah.."
(Ad-Dibaj Al-Mazhab 2/229)
Mereka lebih banyak membincangkan teori-teori dakwah rekaan tangan-tangan sendiri melebihi apa yang digariskan oleh Rasululullah SAW dan ternyata tidak pernah pun Rasulullah SAW gunakan sepanjang dakwah Baginda di Makkah dan di Madinah. Namun, apa yang sudah jelas dihamparkan Rasulullah SAW tidak pula diambil dan diteladani. Kita juga tidak mengambil kira bagaimanakah akidah yang dianuti oleh para imam mazhab dan para imam muktabar yang lain. Kita lebih senang berpuas hati dengan terma-terma atau istilah yang diolah oleh pemikiran-pemikiran kita sendiri. Kita juga tidak punyai masa untuk mengkaji secara ilmiah akidah para salafussoleh yang mana mereka inilah yang diberikan pujian dan jaminan oleh Rasulullah SAW sendiri.
" Sebaik-baik kurun manusia ialah kurun aku berada di dalamnya dan kemudian kurun kedua (Sahabat) dan kurun ketiga (Tabi'ien)… "
(Hadith sahih riwayat Muslim no 1965 Jilid 2, Abu Daud no. 44 Jilid 5)
Mereka lebih senang dengan istilah-istilah tauhid karangan dan nukilan tokoh-tokoh haraki mereka berbanding merujuk kepada kitab-kitab tauhid yang muktabar seperti Akidah Tahawiyah ( Imam Tahawi rha) ataupun Akidah Wasatiah (Syeikhul Islam Al-Imam Ibnu Taimiyyah rha). Adakah sikap ini wajar ada pada seorang dai yang kononnya mendakwa diri mereka dan jemaah mereka adalah jemaah yang betul?
Apa yang lebih menyedihkan kita, apabila, ada segelintir yang mengelarkan diri mereka sebagai 'ikhwah' yang dengan bangganya menyatakan akidahnya sudah cukup mantap, namun, masih lagi percaya kepada perkara-perkara tahyulan, tangkal, makrifat-makrifat, martabat 7, badi, sial dan juga perkara-perkara khurafat yang sepatutnya kita semua hindari. Perkara-perkara ini dengan jelasnya telah diterangkan oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna dalam Usul 20 di mana semua pendukung Ikhwanul Muslimin dan juga semua Muslim wajib meninggalkan perkara-perkara sesat yang boleh membawa kepada syirik dan sebagainya. Sekiranya kita adalah 'ikhwah' dan menasabkan diri pula kepada Ikhwanul Muslimin, maka sepatutnya, tidak terjadi perkara-perkara sebegini.

Tiada ulasan: