TAFADDHAL

JIHAD FI SABILILLAH

JIHAD FI SABILILLAH

Sabtu, 5 September 2009

... Setelah Raya...

SEREMBAN: ADUN Bagan Pinang, Azman Mohd Noor meninggal dunia pada petang jumaat akibat komplikasi jantung sekaligus membuka laluan kepada satu lagi pilihan raya kecil iaitu yang ke-9.



DUN Bagan Pinang terletak di dalam kawasan Parlimen P132 Telok Kemang.



Pada pilihan raya umum yang ke 12, Azman memenangi kerusi tersebut dengan menewaskan Ramli Ismail dari Pas dengan majoriti 2,333 undi. Beliau memperolehi 6,430 undi manakala Ramli pula 4,097 undi.



Kawasan tersebut mempunyai komposisi 66% pengundi Melayu; 19.9% India; 10.5% Cina dan 3.5% lain-lain kaum.



Menurut laporan awal, kematian Azman adalah disebabkan komplikasi sakit jantung. Beliau dilaporkan meninggal dunia pada jam 2.30 petang di Hospital Pakar Seremban. Azman berusia 55 tahun.



Allahyarham, yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Pakar Ampang Putri pada Mei lalu kerap kali mengadu tidak sihat sejak beberapa hari lalu, menurut isterinya Normah Zainal Abidin.



Normah, 49, berkata, keadaan suaminya bertambah teruk sejak dua hari lalu.



“Dia mula merasa tidak sihat selepas persidangan Dewan Undangan Negeri yang baru bersidang pada 17 dan 18 Ogos lalu dan situasinya tidak berubah sejak itu,” katanya.



Normah berkata, walaupun dia telah menasihati Allahyarham supaya segera mendapatkan rawatan doktor tetapi nasihatnya itu sering kali tidak diendahkan.



Ini kerana kata Normah, suaminya ingin mendahulukan urusan di kawasannya.



Malah menurut Normah, Allahyarham suaminya enggan membatalkan temujanji dan urusan yang telah ditetapkan sebelum ini dan beliau juga berkata banyak kerja yang harus diselesaikan.

Normah juga berkata, Allahyarham hanya bersetuju untuk ke hospital selepas keadaannya semakin teruk pada awal pagi Jumaat iaitu pada sekitar jam 3.30 pagi.



”Dia mengalami demam panas yang sangat tinggi dan saya mendesak supaya segera dihantar ke hospital itu pun Allahyarham setuju selepas didesak,” ujar Normah.



Normah menambah, suaminya masih lagi sedar ketika dibawa dengan kerusi roda memasuki ke wad kecemasan. Bagaimanapun beliau pengsan sebaik sahaja hendak dibawa ke Unit Rawatan Intensif.



Beliau meninggalkan lima orang anak iaitu Mohd Khusairi, 23; Hasrol Asfani, 22; Norsyazila, 19;Nor Syafiqah, 16 dan Nor Syafitra, 13.



Menteri Besar Negri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kematian Azman sebagai satu kehilangan buat Umno.



“Allahyarham adalah seorang rakan yang baik dan telah berjasa kepada parti untuk sekian lamanya dan telah berkhidmat dengan ikhlas, jujur dan dedikasi,” ujarnya.



Sementara bekas Adun Bagan Pinang, Mohd Faizal Ramli yang mana Azman mengantikan tempatnya berkata, Allahyarham sangat dihormati dan disukai oleh masyarakat di kawasannya kerana beliau seorang yang merendah diri.



“Beliau adalah Naib Ketua Bahagian Umno Telok Kemang malah pendakiannya dalam politik bermula dari bawah. Hanya tahun lalu baru Allahyarham berpeluang menjadi calon wakil rakyat,” katanya.



Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bagan Pinang dekat Port Dickson.



Dalam pada itu Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan,Datuk Abdul Razak Mansor berkata, beliau akan mengemukakan notis mengenai kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin ini (7 Sept).



“Terpulang kepada SPR untuk menentukan tarikh penamaan dan pengundian bagi pilihan raya kecil DUN itu,” katanya kepada Bernama di sini.



Kerusi DUN Bagan Pinang secara tradisinya adalah kubu BN. Sebelum ini calon BN, Mohd Faizal Ramli memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 4,411 undi.



Bagaimanapun dalam situasi politik negara sekarang, adalah jelas sekali, pilihan raya kecil yang bakal diadakan nanti pasti menyaksikan persaingan yang sengit.



Apatah lagi Parlimen Telok Kemang sekarang dikuasai oleh Parti Keadilan Rakyat. Terdapat lima DUN di dalam kawasan Parlimen Telok Kemang. Tiga dikuasai oleh pembangkang manakala BN dua kerusi.



Kerusi-kerusi yang kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat ialah DUN Chuah (PKR), DUN Lukut (Dap) dan DUN Port Dickson (PKR).



Manakala DUN yang dikuasai BN pula selain Bagan Pinang ialah DUN Linggi.


Tiada ulasan: